Rabu, 02 Oktober 2013

Adat dan Tatatertib Makan di Rumah Orang Melayu

Orang Melayu zaman dahulu amat mementingkan adat dan sopan santun sewaktu makan, baik itu di rumah maupun di majlis-majlis keramaian. Hal itu selain bertujuan untuk pengajaran tetapi juga untuk menjaga sopan santun orang Melayu dalam  menjaga tatasusila supaya kita tidak melakukan perkara yang kurang sopan. Orang Melayu memang terkenal dengan sopan santun mereka sejak zaman dahulu kala. Maka dari itu diadakan beberapa pantang larang supaya ia dapat diwariskan ke generasi yang akan datang. Termasuk sopan santun dalam menyantap makanan dan bertamu.

1. Ketika berkunjung ke rumah orang, apabila tuan rumah menghidangkan makanan atau minuman, jangan sekali menolaknya. Jika kenyang sekalipun kita hendaklah setidak-tidaknya menjamah sedikit hidangan yang disajikan itu.


2. Setelah makanan dihidangkan, pastikan orang yang lebih tua duduk terlebih dahulu. Kemudian baru diikuti oleh orang muda untuk mengambil tempat masing-masing. Anak gadis dikehendaki menyenduk nasi ke dalam pinggan orang yang lebih tua. Biarkan orang yang lebih tua mengambil makanan terlebih dahulu kemudian barulah diikuti oleh orang muda. Adalah tidak sopan jika membiarkan orang yang lebih tua makan sisa orang muda. Maka itu setengah orang membuat peraturan supaya orang muda makan berasingan daripada orang yang lebih tua atau orang tua makan dahulu daripada orang muda. Bagaimanapun, amalan ini 
tidak begitu sesuai jika kita ingin menanamkan kemesraan dan semangat kekeluargaan di kalangan anak-anak.

3. Ketika makan sebaiknya ambillah makanan yang berhampiran dengan kita. Jangan menjangkau makanan yang sukar dicapai. Mintalah bantuan orang lain yang berdekatan jika kita mahukan makanan itu.

4. Ketika menghulur atau menyambut makanan, sebaik-baiknya gunakan tangan kanan, tetapi jika tangan kanan kotor, bolehlah kita menggunakan tangan kiri.

5. Sewaktu menghulur dan menyambut makanan, sebaiknya siku atau pergelangan tangan ditampung sedikit dengan tangan yang sebelah lagi.

6. Sewaktu mengambil kuah atau nasi, gunakan tangan kiri supaya sudu atau senduk tidak kotor.

7. Pastikan sudu, piring, atau mangkuk tidak berlaga dan berbunyi ketika menyenduk. Ini dianggap kurang sopan dan kasar jika berlaku pergeseran antara sudu, piring, atau mangkuk sehingga berbunyi.

8. Ketika makan, janganlah bercakap-cakap. Lebih-lebih lagi jika mulut penuh dengan makanan. Jika bercakap pun pastikan tidak menimbulkan perkara yang kurang menyenangkan sehingga boleh mengganggu selera makan orang lain.

9. Jangan makan berbunyi, umpamanya menghirup minuman atau mengunyah makanan.

10. Ketika orang lain sedang makan janganlah menghembus hingus, berkehak atau berludah.

11. Jangan makan terlalu kenyang. Makanlah sekedar mengenyangkan atau mengalas perut sahaja.

12. Jika selesai makan terlebih dahulu jangan sekali-kali mengangkat pinggan dan meninggalkan orang yang sedang makan. Sebaiknya tunggu dan pastikan semua orang sudah selesai makan barulah bangun.

13. Jika hendak mengemas tempat makan atau meja makan, pastikan semua orang sudah selesai makan. Tidak sopan jika mengemas ketika orang lain masih menikmati hidangan Jika dilakukan kita seolah-olah menyindirnya supaya menghentikan makan atau melarangnya menghabisi makanannya.

14. Jangan pergi ke rumah orang pada waktu makan dan waktu maghrib. Ini mengganggu tuan rumah kerana mungkin dia telah memasak makanan cukup untuk keluarganya saja. Waktu maghrib pula adalah waktu sembahyang yang paling singkat dan kedatangan tetamu menyebabkan tuan rumah serba salah untuk meninggalkan tetamu keseorangan. Oleh itu sebaiknya datanglah selepas waktu sembahyang Isyak.
Share

Artikel Terkait

2 komentar:

  1. Assalamualaikum.. blog anda sangat menarik untuk dibaca. Adakah sumber disebalik penulisan anda yang dijadikan rujukan?

    BalasHapus
  2. Komentar ini telah dihapus oleh pengarang.

    BalasHapus